Thursday, March 19, 2009

Melayan anak sakit


Dah lebih 1 minggu aku tak berkesempatan memasukkan artikel di sini.  

Anak gadis kecilku yang baru masuk 3 tahun demam lebih 2 minggu lamanya. Demamnya kuat. Beberapa kali kami berulang-alik ke klinik untuk mengetahui sebab demamnya yang tidak reda-reda. Bila tangan, kaki dan badannya mula merah-merah dan membengkak, aku mula risau. Nak dikatakan demam campak, mengapa tapak tangan dan kaki yang bengkak. Nak pakai kasut pun, dah nampak padat.  

Pagi hari Malidurrasul, panasnya tambah kuat. Ketiga-tiga abangnya ada majlis sambutan Maulidur rasul di surau Fasa 2 Puncak Alam. Abang yang sulung menyertai pertandingan nasyid. Kami menunggu majlis tamat sebelum membawanya ke sebuah pusat perubatan di sg. buluh memandangkan semua klinik tutup sempena cuti umum. Sedang bapaknya menunggu di sana kerana kebetulan menguruskan kerja tesis di pejabat.  

Doktor mengesyaki Aleeya dijangkiti denggi. Pilihan diberi samada masuk wad untuk ujian darah atau memakan ubat yang diberi. Keesokan harinya aku menghantar si kecil ini ke Hospital Sg. Buluh untuk rawatan lanjut. Ketika ini, badannya telah kekurangan banyak air. Bibirnya tersangat kering. Tiap kali makan ubat secara paksaan, bibirnya akan berdarah kerana menangis dengan kuat.  

Kami dibenarkan pulang setelah hampir setengah hari di sana. Aleeya hanya dijangkiti virus biasa. 

Selepas 4 hari, dia masih demam tetapi nampaknya sudah berkurangan. Tetapi kakinya sakit bila dipijak. Kekadang tangannya sakit. Hendak ke tandas perlu didukung. Kemana-mana pun didukung. Makan tidak mahu. Minum susu pun bila sudah terlalu lapar.   

Akhirnya, doktor syak dia terkena Chikukunya. Penyakit yang pelik.  Namanya sahaja dah pelik. Adik-beradik dengan denggi kerana dijangkiti melalui nyamuk. Vaksinnya belum ditemui. Hanya ubat tahan sakit dan paracetamol.   

Alhamdulillah. Sejak Ahad, semasa Opah dan Atuk datang melawat, demamnya dah kebah. Dah bermain di luar, pijak-pijak rumput, bergurau dengan abang dan adik. Bila tiba malam dan sebelah paginya, sakit kaki dan tangan datang balik.  

Hari ni.... dah tak demam. Dah boleh berlari-lari anak. Minum pun dah kerap. Makan sikit-sikit. Kalau betul Chikukunya (tak pasti sebab tak buat ujian darah), sakit-sakit sendi ni boleh berlarutan sehingga 6 bulan, mengikut ketahanan dan kekuatan seseorang. 

Apa yang aku belajar daripada ini, perlulah banyak bersabar. Dengan kerenah anak yang sakit (selepas layanan kita selama dia sakit, aduhai manjanya dia... tidur pun kena peluk dia). Dengan kerenah anak-anak yang tidak sakit (tidak berhenti-henti gaduh dan buat bising, cuti sekolah..)  

Hikmah di sebalik kejadian ini - Bersyukurlah kita apabila dikurniakan dengan tubuh badan yang sihat. Dan....Aleeya dah tak perlu pakai pampers lagi....

No comments:

Post a Comment